Alhamdulillah, Rabu bertarikh 4 Mei, Khawar telah berjaya membentangkan tesis PhDnya. Hari itu tidak ramai pelajar di GSB kerana minggu ini adalah minggu cuti. Tapi lampu yang terbuka di bilik Viva menarik minat saya. Saya nampak Dr Rosmah keluar, "Oohhh Dr, ada viva ke hari ini?" tegur saya berbisik disaat Dr Rosmah juga melepaskan pintu perlahan. "Khawar sedang dalam sesi soal jawab, saya rasa hendak berehat sekejap". Dr Rosmah adalah penyelia utama Khawar yang menjalankan kajian tentang "tacit knowledge sharing".
Saya masuk ke ruang kerja saya, dalam hati rasa berdebar-debar. Khawar tentu lebih-lebih lagi. Lebih kurang jam 12 Khawar masuk ke bilik karel bersama penyelia keduanya. Saya senyum dan menyalami Khawar. Tidak mahu menanya apa-apa saoalan. "Kami keluar, kerana committee sedang membincangkan keputusan" kata penyelia kedua Khawar. Sunyi dalam bilik itu. Saya jemput Khawar dan penyelia beliau duduk tapi mereka menolak. Tiada siapa yang mahu duduk sekarang ini. Saya pun tumpang berdebar-debar juga.
Selepas 10 minit mereka masuk semula ke bilik viva hanya berhadapan sahaja dengan bilik karel kami. Selang 5 minit agaknya saya terdengar keadaan di luar telah bising. Suami Khawar dan kawannya terburu-buru luar. Saya pun menyenguk dan tertanya adakah keputusan Khawar telah diumumkan? Ya Khawar telah lulus dengan pembetulan minor. Alhamdulillah.
Bilik viva yang selama ini begitu misteri tapi hari ini saya dapat masuk setelah dijemput oleh Dr Rosmah, supaya Khawar bergambar dengan kawan-kawan. Hanya ada 3 orang pelajar GSB, Kak Darma, pelajar lelaki dari Iran (saya tidak tahu namanya) dan saya. Suami Khawar sibuk menjadi jurugambar. Semasa saya memeluk Khawar mengucapkan tahniah, reaksi Khawar masih kosong. Mungkin beliau antara percaya tidak percaya bahawa perjalanan PhD beliau telah berakhir.
Khawar memulakan sesi vivanya pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari. Hanya dalam tempoh 2 jam perjuangan Khawar dalam bilik viva itu. Tapi perjuangan sebenar tentulah lebih panjang lagi.
Tahniah Khawar, sudah boleh kembali berkhidmat di Pakistan selepas ini.
Pesanan terakhir dari Penyelia kedua, maaf saya tidak tahu nama Dr. |
Khawar cakap dia tidak percaya telah lulus, masih terdengar suara nyaring Dr Rosmah memanggil namanya. |
Suasana dalam bilik karel, Khawar siap lukis di papan putih untuk mempertahankan tesisnya. |
Bergambar dengan staf GSB yang datang ke bilik karel untuk ucap tahniah. |
Teman menangis Khawar, Kak Fidah sanggup ambil cuti separuh hari untuk memberi sokongan. |