Ini bukan cerita pasal PhD, tapi kerana saya buat PhD lah
saya telah menukar dari menggunakan prepaid ke pelan postpaid untuk kemudahan
internet. Tapi lain pula ceitanya apabila bil saya yang melambung tinggi, rasa
lagi untung pakai prepaid. Saya mengambil pelan RM69 sebulan dengan internet
dan 60 minit panggilan percuma. Yang peliknya setiap bulan bil mesti lebih dari
RM69 dan mencecah RM100. Sudah masuk 4 bulan saya pun semakin pelik. Walaupun
ada potongan yang ditunjukkan di bil (60 minit panggilan percuma kemana-mana
rangkaian) tapi masih ada banyak lagi panggilan yang dicaj. Pelik semakin pelik…
60 minit adalah bersamaan 1 jam. Satu jam memang laman maka saya hairan macam
mana masid ada lagi lebihan panggilan.
Saya memantau bil saya secara atas talian, maka di atas
ketidakpuasan terhadap perkhidmatan saya hantarkan pertanyaan ke Celcom. Pertanyaan
tersebut saya karang dengan penuh sopan dimulakan dengan “Salam, Tuan/Puan” dan
seterusnya 3 perkara yang utama;
1. Saya minta bil menjelaskan nombor-nombor yang
saya panggil bukan semata-mata jumlah keseluruhan.
2. Saya meminta Celcom tunjukkan cara untuk
menjimatkan bil. Saya difahamkan sekiranya saya mengambil pelan RM69, maka ini
jumlah bil saya tapi sekarang saya selalu bayar lebih.
3. Saya minta tarikh sebenar pusingan bil saya,
supaya saya tidak terlepas bayar ikut tarikh.
Semalam saya menerima panggilan dan seorang gadis Cina
memperkenalkan diri sebagai Looi dari Celcom (maaf ya kalau salah eja, terlupa nak tanya "macam mana eja nama awak?"). Looi dengan sopan santun
menjelaskan telah menerima pertanyaan, oleh kerana itu dia menelefon saya hari
ini. Okay, kat sini terubat sikit hati kerana aduan saya hanya mengambil satu
hari sahaja. Looi dalam pelat-pelat tetap berusaha untuk berbahasa Melayu
dengan baik, walaupun ada juga kadang-kadang saya tidak faham sangat bila Looi
bercakap terlalu laju. Looi memberi saya jawapan seperti berikut;
1. Bil saya sekarang hanya menunjukkan rumusan
panggilan, jadi Looi akan menukarkan tetapan bil saya di sistem kepada “details”.
Menurut Looi saya akan dapat lihat perincian panggilan bermula bulan depan
(Februari).
2. Looi mengatakan bil saya tinggi mungkin
disebabkan oleh langganan-langganan perkhidmatan pihak ketiga. Solusinya, Looi
bersetuju untuk menghalang nombor saya dari terus menerima perkhidmatan pihak
ketiga.
3. Tarikh pusingan bil saya adalah setiap 13 haribulan.
Dalam semua perkara di atas, perkara kedua sedikit
membuatkan saya marah. Bagaimana kita boleh membayar kepada perkhidmatan yang
tidak kita gunakan, memang jelas ketidakadilan di situ. Saya tanya Looi macam
mana perkara ini boleh berlaku, Looi memberi jawapan selamat bahawa Celcom
tidak boleh buat apa-apa. Tapi boleh bantu saya untuk menghalang nombor saya
dari terus melanggan perkhidmatan yang tidak sepatutnya. Saya berasa pelik dan
masih hairan, bagaimana Celcom tidak boleh buat apa-apa mengenai hal ini kerana
ianya hanyalah sistem di komputer. Hanya satu klik boleh menjimatkan bil ramai
pelanggan. Yang menambahkan geram pada perkhidmatan ini, bilamana kita mahu
menghentikan langganan dengan menghantar pesanan “STOP” tapi kita pula dikenakan
caj RM 0.50.
Sudahlah bukan dengan kehendak kita untuk melanggan (entah
dari mana tiba-tiba kita dapat pesanan perkhidmatan), dan jika kita biarkan
perkara ini sempatlah perkhidmatan ini disambung dalam 2 atau 3 minggu secara
automotik. Kemudian ia akan hilang dengan sendiri. Boleh juga kita balas
pesanan dengan menaip “STOP” tapi akan dikenakan caj. Kemudian, selang beberapa
minggu ada perkhidmatan lain pula. Beginilah pusingan perkhidmatan tersebut.
Hairan kan? Untuk memberi gambaran sebenar perasan tidak puas hati ini saya
beritahu Looi, sekarang ekonomi tidak baik dan saya tidak mahu membayar perkara
yang tidak saya gunakan. Saya mahu berjimat. Looi membalas dia faham dan
bersetuju dengan penerangan saya. Saya akan tunggu Februari ini untuk melihat
perubahan dalam bil saya.
Jadi, satu tindakan yang boleh kita buat untuk menjimatkan
bil adalah dengan menghubungi pusat khidmat pelanggan dan mengutarakan
ketidakpuasan hati. Sekarang kita hidup dalam zaman teknologi di mana semuanya dalam
tetapan “default” beserta caj. Jika, tidak mahu caj terus dikenakan kita yang
perlu maklumkan untuk menukarkan tetapan itu. Jika kita diam maknanya kita
setuju dengan “default”. Sangat licik permainan orang perniagaan. MANIPULASI.
Tapi sebagai pelanggan kita perlu lebih cerdik dan pintar dari mereka
menggunakan hak kita.
Oohh… satu lagi untuk pelanggan Celcom jika kita buat
panggilan ke pusat khidmat pelanggan dari nombor prepaid kita akan dikenakan
caj tapi jika dari nombor postpaid ianya percuma. Pengajaran untuk saya hari
ini adalah gunakan hak kita sebagai pengguna sebaik mungkin. Mungkin rakyat
Malaysia jenis tidak ambil berat atau malas mengambil tahu perkara yang remeh
temeh. Seterusnya membuatkan kita membazir dan dan menanggung kerugian. RM1
atau RM2 mungkin kita nampak kecil tapi jika kita guna untuk bersedekah adalah
lebih baik dari membayar perkara yang langsung kita tidak manfaatkan.