Setakat sekarang sudah ada dua tiga orang adik-adik yang tanya macam mana nak
mula belajar PhD. Nak mula dengan apa?
Saya jawab mula dengan menulis cadangan penyelidikan.
Research proposal yang kita nak tulis ini bukan seperti proposal semasa
pengajian PhD. Tapi cukuplah sekadar untuk menyatakan niat dan minat kita
terhadap tajuk yang kita minat.
“Okay… nak tulis apa dalam proposal?” Huhuhu… begitu soalan Izati pada
saya.
Saya tulis jawapannya di bawah.
Selepas proposal ditulis, kita boleh mencari bakal penyelia. Pergi sahaja ke
laman web mana-mana universiti dan perhatikan latar belakang dan resume
pensyarah-pensyarah. Kita akan dapati di universiti mana terdapatnya kepakaran
dalam bidang kita dan pensyarah inilah yang kita boleh hubungi.
Biasanya terdapat pensyarah yang akan menyenaraikan senarai penuh kajian
dan penulisan yang mereka telah terbitkan. Ada juga yang memberitahu jumlah
pelajar yang telah berjaya graduasi dibawah seliaannya. Namun, tidak semua
pensyarah yang mempunyai maklumat yang lengkap. Tapi sekurang-kurangnya alamat emel
mereka pasti ada tertera di situ.
Alamat emel inilah yang penting, kerana ini bermakna kita boleh
menghubungi mereka dan lampirkan proposal yang telah kita sediakan. Tujuannya
supaya pensyarah tersebut tahu yang kita benar-benar serius dengan pengajian
PhD. Jika emel tersebut hanya disertakan dengan soalan-soalan yang biasanya
sahaja, seperti;
1.
Bagaimana hendak menyambung pengajian PhD?
2. Apa bidang kepakaran
Dr?
3.
Bolehkah saya menjadi pelajar Dr?
Sudah tentulah potensi untuk pensyarah membalas adalah tipis kerana
soalan-soalan tersebut kita boleh cari sendiri jawapannya di Internet. Ini
memberi gambaran seolah-olah kita tidak membuat kerja rumah dan tidak bersungguh-sungguh
untuk menyambung pengajian.
Emel yang ditulis juga perlulah unik. Tulis emel yang berbeza kepada
pensyarah yang berbeza walaupun isinya dan maksudnya sama. Sekiranya kita
mengemel kepada 5 orang pensyarah selalunya Insyallah yang akan ada yang
membalas (walaupun sebenarnya saya selalu beranggapan pensyarah ini sibuk dan
ada masa ke untuk balas emel dari orang yang tidak dikenali). Saya sendiri
terkejut dengan balasan-balasan yang saya terima dari beberapa pensyarah yang pernah
saya hanya hubungi melalui emel sahaja. Masyallah mereka sangat positif dan
faham situasi kita yang sebenarnya kita masih dalam proses merisik-risik. Jika tiada balasan, kita fikir positif dan ingat tiada apa yang perlu dimalukan
sebenarnya.
Okay.. apa yang hendak kita tulis dalam proposal ringkas kita ini? Tulis
sahaja dalam 2 hingga 5 muka surat yang mengandungi perkara-perkara berikut;
1.
Nama Penuh
2. Tajuk Cadangan
3. Pengenalan / latar
belakang
4. Isu / masalah kajian
5. Objektif kajian
6. Kepentingan kajian
7. Kajian kepustakaan
8. Metodologi Kajian
9.
Rujukan
Walaupun ini proposal ringkas sahaja, tetapi kita tetap kena buat
rujukan dan “citation”. Pastikan rujukan kita terkini untuk menunjukkan ada kepentingan kajian dan kesegeraan untuk mengkaji tajuk ini. Elok jika kita dapat
kaitkan dengan isu semasa yang berlaku dalam persekitaran dunia dan Malaysia
sekarang. Jangan lupa format rujukan perlulah yang betul dan seragam. Pakai
satu format sahaja dan jangan campur-campur. Di situ pensyarah akan nampak
usaha kita.
Tapi ingin saya berpesan kepada Mira, Dayah dan Izati supaya tidak perlu
untuk sediakan proposal yang lengkap dan sempurna pun. Semasa kita sediakan
proposal ini kita pasti akan tertanya-tanya ada ke tidak isu penting?, relevan
ke tajuk kita ni?, ada jurang kajian tak?, macam standad PhD tak proposal ini?.
Berhenti fikirkan semua ini.
Soalan-soalan yang berlegar-legar dalam kepala ini akan menyebabkan
keyakinan kita menurun. Kalau mahu tunggu ia sempurna sampai masuk pengajian
pun tidak akan sempurna. Proposal ini hanya untuk menyatakan niat kita dan
tajuk yang kita minati. Akhirnya kita tidak akan emel kepada sesiapa pun dan
hanya diperam dalam cakera keras sahaja. Sekurang-kurangnya sekiranya kita emel
kepada mana-mana pensyarah mereka akan membaca seimbas lalu. Selalunya
disebabkan kepakaran mereka pasti dapat mengenalpasti potensi dalam cadangan
kita dan jika bernasib baik akan ada pensyarah yang akan memberi cadangan untuk
tambahbaik. Okay.. kat situ kita sudah dapat bonus. Yeayy!!
Lagipun proposal yang kita sediakan itu adalah idea kita sendiri. Jadi, kita kena faham ini adalah tacit knowledge. Biasakan kita kena dengar “Knowledge
is Power” jadi jangan sia-siakan cadangan kita itu. Ia pasti ada potensi cuma perlu
digilap sedikit demi sedikit. Tapi langkah pertama selepas tulis adalah emel
kepada orang-orang yang berkenaan.
Boleh juga emel dahulu kepada rakan-rakan senior dan rakan-rakan kita
untuk minta mereka semak dan komen. Kita pilihlah rakan-rakan yang
kita selesa. Kalau mereka boleh beri komen itu sudah baik, kalau mereka tidak
balas emel kita pun tak apa. Tak rugi pun.
Kepada Mira, Dayah dan Izati selamat berjaya tau…
Luangkan sedikit masa kita, mungkin sejam ke dua jam dalam sehari.
Insyallah paling lama pun 2 minggu mesti kita sudah nampak hala tuju kita.
Perkara yang ada dalam kepala kita bila sudah berjaya di tulis atau di taip
pasti akan memotivasikan kita dan idea akan datang mencurah-curah. Insyallah.
Cabaran dalam menulis sebenarnya memerlukan sedikit kerja berfikir. Saya tidak nafikan nak mulakan berfikir itu sedikit
sukar. Tapi poinnya di sini jangan putus asa. Fikir lagi….