Nov 30, 2015

Cerita PhD: Pukul Berapa Nak Bangun Pagi?

Semalam saya tidak berjaya menulis 1000 patah perkataan. Entah mengapa semalam dirasakan begitu sukar sekali langsung tiada idea apa yang hendak ditulis. Mungkin juga terlalu penat setelah 2 hari berturut-turut megharungi kelas di hujung minggu. Pada hari Ahad kami mengikut kelas Dr Tih dan banyak yang kami pelajari tentang research design dan hari ini saya rasa menyesal pula kerana gagal merakam pelajaran semalam. Sehingga hari ini sudah tentulah pelajaran tersebut telah tinggal beberapa kerat sahaja dalam kepala ini. Rasa menyesal itu membuatkan saya teringat kepada idea 5.00 am Club yang dikongsikan oleh Dr Vijay. Idea Kelab 5.00 pagi ini dimulai oleh Robin Sharma (boleh langgani saluran Robin Sharma di Youtube) yang mengajak/memotivasikan kita semua supaya bangun seawal jam 5.00 pagi. Robin Sharma mencadangkan kita bangun awal dan memanfaatkan jam 5.00 pagi hingga 6.00 pagi sebaik mungkin dengan membahagikan 60 minit itu kepada 3 bahagian. Sekiranya jika kita ingin berjaya 60 minit itu dicadangkan kepada 20/20/20 minit. Cadangan adalah seperti berikut;

20 minit: kita peruntukkan untuk senaman dan latihan fizikal
20 minit: kita mengemaskini matlamat atau jadual harian; semak to-do-list
20 minit: kita luangkan masa untuk pembelajaran 

Di Malaysia, kelab 4.00 pagi yang menyenaraikan 10 perkara yang kita boleh lakukan untuk menjadikan kita seorang yang lebih efektif. Saya tidak pasti meletakkan rujukan di sini siapa yang mengasaskannya (kemungkinan besar Azhar Mokhtar atau Roslan Ab Hamid – seperti carian saya di Google Image). Berbeza dengan idea kelab 5.00 pagi, kelab 4.00 pagi dirangka selari dengan gaya hidup muslim. Mandi seawal pukul 4.00 pagi adalah idea yang paling menarik sekali kerana saya seringkali juga terbangun pagi tetapi biasanya ke kembali ke katil selepas ke tandas. Saya merasakan inilah solusi kepada saya supaya tidak kembali tidur. Aktiviti nombor sepuluh juga hebat dengan menganjurkan kepada kita supaya bersedekah seawal pagi dan ini bermakna kita perlu bersedekah setiap hari.

10 perkara yang boleh dibuat setelah bangun 4.00 pagi (Sumber: Google Image)0

Selepas melihat idea ini dan sedar kebanyakkan orang yang berjaya kesemuanya bangun awal. Di saat kebanyakkan orang masih tidur, orang berjaya bangun awal untuk merangka kejayaan dalam hidup mereka. Saya rasakan saya perlu cuba idea ini. Mungkin untuk bangun seawal 4.00 pagi adalah terlalu awal, tetapi boleh disesuaikan kepada 4.30 pagi. Namun, cabaran utama saya adalah untuk mandi pada jam 4.30 itu sedikit mengugat motivasi saya untuk melakukan perubahan ini. Perubahan ini perlu dikekalkan selama 66 hari bagi memastikan ia terpahat kemas dalam otak dan seterusnya memprogramkan seluruh tubuh.  Tapi sebelum saya boleh bangun jam 4.30 pagi saya perlu masuk tidur sebelum jam 11.00 malam. Sesungguhnya, tidur awal juga satu cabaran. Biasa saya masuk tidur, saya belum boleh terus terlelap kerana mengambil masa kurang-kurang setengah jam untuk memujuk mata supaya tidur. Ditambah sekarang saya mahu menulis blog tidak kurang dari 1000 patah perkataan, maka saya perlu memulakan penulisan ini seawal petang supaya tidak berlarutan sehingga 11.00 pagi.

Esok, Insyallah saya berjanji kepada diri sendiri untuk menyertai kelab 4.30 pagi. Ya Allah bantulah saya untuk melakukan perubahan ini. Amin. Insyallah.

Versi lain, cerita sama (Sumber: Google Image)

Selanjutnya saya mahu menyambung isi pelajaran dari syarahan Prof Ara yang tertangguh artikel sebelum ini. Pertama, tajuk syarahan mengenai pernyataan masalah yang disampaikan oleh Prof dalam keadaan yang mudah sekali. Dimulakan dengan menunjukkan beberapa contoh pernyataan masalah Prof Ara membacakan bagaimana artikel-artikel tersebut menulis bahagian ini. Tujuannya supaya kami dapat belajar dan mendapat idea apa yang diperlukan semasa menulis pernyataan masalah kami kelak. Perkara yang perlu dimasukkan dimulakan dengan (1) latarbelakang atau fenomena semasa dalam kajian kita, (2) masalah, kekurangan atau limitasi dalam kajian-kajian sebelum ini, (3) solusi yang ingin diutarakan untuk menampung atau menyelesaikan isu sebelum ini. Apabila saya melihat contoh-contoh tersebut, saya dapati ada keseragaman dalam bentuk tulisan dalam pernyataan masalah contohnya; recently, therefore, however, thus etc. Beberapa perkataan penghubung juga digunakan untuk menunjukkan kesinambungan penulisan bahagian ini.

Pendahuluan yan menjelaskan pernyataan masalah
Rujukan:
Harms, P. D. (2011). Adult attachment styles in the workplace. Human Resource Management Review, 21(4), 285–296. http://doi.org/10.1016/j.hrmr.2010.10.006

Prof. Ara mengatakan lompang kajian bukanlah sesuatu yang sukar dan tidak semestinya benar-benar masalah. Lompang kajian boleh dimaksudkan sebagai limitasi pada kajian lepas, pembolehubah yang belum digunakan sebelum ini, metodologi yang belum pernah digunakan. Lompang itu boleh jadi kekurangan atau missing dalam kajian yang lepas. Asalkan diolah dalam keadaan yang menunjukkan signifikan kepada kajian yang kita cadangkan dan menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan. Dan sumbangan kajian kita kepada pembangunan ilmu tersebut itulah membezakan tahap kajian di peringkat sarjana ataupun kedoktoran. Prof. Ara beberapakali mengingatkan betapa berat tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang yang bergelar doctor falsafah dan sudah tentulah kesarjanaannya terselah melalui hasil kajian selama 3 tahun tersebut.

Seterusnya Prof. Ara membincangkan tajuk analisa statistik. Hanya 2 ujian sahaja yang dibincangkan pada hari tersebut tetapi penerangan yang diberikan itu sangat bermakna dalam saya memahami analisa ringkas dan paling penting dalam ujian regresi. Ujian pertama adalah T-test dan kedua Anova. Ooo… sekarang baru saya faham dalam ujian regresi inilah 2 perkara yang digunakan. Ujian t adalah ujian yang menguji perbezaan antara dua kumpulan, manakala ANOVA pula adalah ujian untuk membezakan lebih dari 2 kumpulan. Ya saya faham akan hal ini tetapi aplikasinya dalam ujian regresi tidak saya sedari selama ini. Dalam ujian regresi ia menggunakan kedua-dua test ini. Justeru, Prof. memperkenalkan hipotesis bagi kedua-dua ujian ini terlebih ini yang biasanya saya tidak pernah terfikirkan kepentingan hipotesis. Dalam regresi ukurannya adalah F-test yang sama fungsinya dengan t-test dalam membezakan kumpulan-kumpulan. Oooohh... dulu saya pun tidak tahu apa itu F-Test, panjang sikit 'O' nya.

Nov 28, 2015

Kelas kuantitatif bersama Prof. Ara

Dari dulu lagi saya memang suka cara Prof Ara mengajar. Prof Ara begitu bersemangat mengajar kami semua dengan intonasi suara yang pelbagai menekankan perkara-perkara penting. Kelas kuantitatif hari ini begitu padat sekali dengan maklumat yang cuba disampaikan oleh Prof Araf dalam ayat yang paling mudah difahami. Prof Ara memulakan kelas hari ini dengan menjelaskan tentang perbezaan populasi dan sampel. Pertama sekali beliau menerangkan mengapa kita hanya menguji sampel sahaja dan bukannya populasi. Sampel dikaji kerana kajian secara bancian (cencus) yang melibatkan kesemua populasi adalah sangat mahal dan adalah mustahil untuk dijalankan kerana melibatkan masa yang sangat panjang. Justeru, hanya sampel dikaji dengan menggunakan metodologi secara sistematik untuk menjelaskan populasi kajian. Kebolehan sampel menerangkan populasi dipanggil sebagai generalization, atau boleh juga dikenali sebagai mirror image, random, probability.

Prof. Ara seterusnya memperkenalkan kami kepada simbol yang perlu diketahui dalam membezakan sampel dan populasi. Populasi menggunakan tulisan Greek manakala, sampel menggunakan tulisan Roman. Sebelum itu, Prof. Ara ada menguji pengetahuan kami tentang simbol-simbol ini dengan bertanyakan soalan tapi akhirnya Prof. sendiri memberi jawapan. Terima kasih Prof. Mungkin masing-masing belum panas (sebab kelas baru sahaja di pagi Sabtu), atau semua memang tidak tahu apa-apa tentang simbol ini.

Populasi
Sampel
mean
µ
X bar (tak jumpa simbol)
Standard deviation
δ
S
Slope (coefficient)
β
B

Hipotesis
Mengapa perlu hipotesis dalam kajian kita? Seperti biasa saya memang duduk di barisan hadapan dan sebagai pelajar yang baik saya akan menjaga konteks mata saya dengan pensyarah (tengok jenis pensyarah juga, kalau pensyarah garang memang saya tidak pandang). Pentingnya konteks mata kerana ia menunjukkan minat kepada penyampai, kerana saya tahu bagaimana rasanya bila tiada orang mendengar kita memberi syarahan. Prof. Ara tanya maka, saya pun jawab. Hipotesis adalah “an assumption to describe the relationship” Okey jawapan bunyi macam pandai. Tapi, profesor lebih pandai (setiap kali Prof tanya soalan saya kena fikir betul-betul apa yang Prof ingin tanya, kerana kadang-kadang sering saya salah faham). “betullah - an assumption, tapi assumption about what?... an assumption about…, an assumption about…. ???” Prof memerlukan jawapan yang lebih tepat. Puas sudah meneka-neka jawapan yang betul, sampai sendiri jadi tidak yakin. ADUH! “an assumption about population” jelas Prof. Ara mematikan kepeningan saya. Ooooo…. Oleh kerana kita cuma kaji sampel maka hipotesis adalah andaian terhadap populasi. Ya, begitulah gaya dan tahap seorang profesor. 

Mengapa kajian perlu dijalankan bagi bidang-bidang seperti pengurusan, kewangan dan pemasaran? Satu persoalan mudah dilontarkan oleh Prof. Ara untuk membolehkan kami berfikir tentang hal ini. Kajian di dalam bidang ini biasanya dilakukan untuk membuat keputusan. Kerana keputusan yang betul adalah sangat diperlukan bagi menjimatkan kos syarikat maka pengumpulan data dan maklumat yang tepat adalah sangat penting. Begitulah pentingnya memilih sampel yang betul. Keputusan yang betul dan sahih juga boleh didapati sekiranya kesalahan dapat dikurangkan. Antara caranya ialah menambahkan jumlah saiz sampel. Prof. Ara mengakui sememangnya akan ada kesalahan dalam model yang dicadangkan oleh penyelidik yang mengenalpasti faktor-faktor (x) yang mempengaruhi perkara utama kajian (y). Kerana itu, ada error yang diambil kira dan diletakkan diakhir sekali dalam model matematik yang dicadangkan oleh penyelidik.

Y = b0 + b1 x1 + b2 x2 + b3 x3 +… bk xk + ϵ

Type I dan Type II Error

Masuk bab error pula. Ada 2 jenis error; type I dan type II. Contoh Prof. Ara menarik sekali. Diberi situasi seorang penjenayah yang menunggu keputusan mahkamah digambarkan dalam bentuk hipotesis.

Sebagai contoh:
Null hypothesis: guilty – hang to death
Alternate hypothesis: not guilty – set him free

Type I error ialah apabila; (definisi) reject the null hypothesis when it is true. Keadaan kesalahan (error) yang dilakukan oleh pembuat keputusan yang melepaskan penjenayah itu bebas walaupun dia sebenarnya memang seorang pembunuh.

Type II error ialah apabila; (definisi) fail to reject the false null hypothesis. Manakala, Type II error lebih teruk lagi kesalahannya, apabila kita telah menggantung orang yang sebenarnya tidak bersalah.
Bila baca-baca-baca semula hipotesis di atas dan fikir-fikir-fikir, rasa macam salah pun ada. Tapi apakah saya yang sebenar tidak faham untuk membezakan type 1 dan type 2 error ini. Tapi saya malas hendak menyerabutkan keadaan maka, saya membuat keputusan bahawa type 2 error adalah error yang lebih tinggi tahapnya dari type 1 error.

Beza Theoretical Framework denga Conceptual Framework
Ini adalah konsep yang biasanya pelajar keliru, apa itu theoretical framework dan apa pula conceptual framework? Kebanyakkan masa saya fikir kedua-duanya sama sahaja, tapi saya tahu ianya berbeza. Prof. Ara menerangkan dengan mudah sekali tapi biasanya Prof. Ara akan menanyakan dulu soalan dan meminta pelajar menjadi. Tapi bijaknya cara Prof. Ara mengajar kami apabila soalan-soalan yang ditanyakan itu akhirnya akan membawa kita kepada perkara yang ingin beliau sampaikan. “Are you following me or not?” itulah ayat yang paling kerap keluar dari mulut beliau yang membuatkan saya sentiasa peka dan benar-benar mengikuti syarahannya. Memang kita tidak boleh tertidur atau Stersesar walau sekejap pun, nanti kita akan tidak boleh faham.

Theoretical framework adalah kerangka yang dibina atau dibangunkan oleh guru atau sarjana dalam bidang terbabit. Ia biasanya telah dibuktikan betul setelah sekian lamanya dan ada diantara pengasasnya telahpun meninggal dunia. Manakala, kerangka konseptual pula adalah kerangka yang dibangunkan atau dicadangkan oleh pengkaji seperti saya yang ingin menyelidik hubungan antara pembolehubah-pembolehubah. Seringkali Prof. Ara menekankan supaya kita memilih topik yang kita minati supaya ia membantu kita membuat penyelidikan yang berkesan. Ibarat kita bersemadi bersama tajuk itu, kerana semua orang faham yang kita sedang membuat PhD. Tiga perkara penting yang perlu ada dalam kerangka konseptual; (1) model / diagram, (2) penerangan kepada pembolehubah / konstrk dan (3) hipotesis dengan anak panah yang menunjukkan arah. Pesan Prof. Ara juga bagi peringkat PhD, kerangka konseptual ini mencapai tahap sebagai PhD, kerana matlamatnya adalah untuk menyumbang kepada perkembangan ilmu. Walaupun, Prof. Ara hanya menunjukkan satu model ringkat di mana SQ (service quality) mempunyai hubungan dengan CS (customer satisfaction), tetapi beliau mampu menerangkan kepada kami pula apa itu, concept, construct dan juga variable. Kemudian pemahaman ini dikembangkan lagi daripada theoretical framework, conceptual framework dan juga operational framework. Beza… memang berbeza mendengar syarahan seorang profesor.

Theoretical framework Theory of Planned Behavior (sumber: Google Image)

Conceptual Framework TPB (sumber: google image)

Ada 2 lagi maklumat yang Prof. Ara kongsikan kepada kelas hari ini iaitu; pernyataan masalah dan analisa statistik yang saya kira perlu ditulis dalam artikel khas. Rasanya ini artikel yang mengambil masa paling lama untuk disiapkan kerana begitu banyak yang perlu rujuk dan ingati dengan baik. Saya berasa puas hati menulis artikel ini berbanding artikel saya sebelum ini yang sedikit kosong kerana artikel ini membantu saya memproses dan mengingati ilmu yang saya pelajari pada hari ini. Terima kasih Prof. Ara sesungguhnya kebaikan yang Prof. beri kepada kami hanya ALLAH sahajalah yang dapat membalasnya. Prof. Ara mengakhiri kelas dengan menyatakan “I hope you learn something from this session”, saya membalas “A lot… Prof”. Prof senyum tapi sepanjang kuliah hari ini Prof banyak kali terbatuk-batuk, dan bunyi batuknya itu agak kritikal. Hebatnya beliau tetap menerangkan dengan sabar dan kadang-kala meminta kami membaca slide itu. Semoga Prof. segera sembuh. Insyallah.

NOTA:
27 November 2015 (dikemaskini di blog pada 29 November 2015)
1134 patah perkataan

Teori Keberantungan

Seperti biasa pada hari Jumaat saya akan dapati sekolah akan sedikit lengang. Mungkin tiada kelas dijadualkan pada Jumaat, atau mungkin juga ramai memilih untuk belajar di rumah sahaja. Keadaan yang lengang ini turut disedari oleh Tati seorang jurutera pembersihan di sekolah saya. Tati seorang yang murah senyuman dan pemurah seringkali menegur saya, membuatkan saya berani menanyakan namanya. Jika saya kenal namanya maka lebih senang dan mesra untuk berbual bila bersua lagi. Hanya kami berdua di Surau melelapkan mata, tapi pendingin hawa yang terlalu sejuk membuatkan kami bangun sahaja setelah kira-kira 15 minit. Selalu saya mendengar, jika bilik itu dihuni oleh sedikit orang maka sejuknya akan lebih terasa. Tapi sekiranya pendingin hawa ditetapkan pada suhu yang sama tetapi dipenuhi oleh ramai manusia, kita akan merasa panas. Maka dapat saya membuat kesimpulan suhu bilik turut dipengaruhi oleh jumlah penghuninya.

Andaian ini mungkin benar, mungkin juga salah. Justeru, kita perlu membuktikan melalui penyelidikan untuk membenarkan hipotesis tersebut. Berbalik kepada bilangan pelajar yang sedikit pada hari Jumaat, saya memerhatikan situasi ini dan membuat beberapa andaian. Untuk mendapatkan kebenaran dalam menjelaskan situasi ini saya perlu buat sedikit penyelidikan seperti mencari maklumat berkenaan jadual pada hari Jumaat. Atau mungkin saya boleh bertanya kepada kawan-kawan di sekolah, apa yang mereka buat pada hari Jumaat? Begitulah serba ringkas bagaimana penyelidikan dibuat, kedengaran senang dan mudah tapi prosesnya panjang. Tapi saya tetap optimis bahawa penyelidikan adalah mudah kerana ianya berstruktur dan bersistem. Maka sebagai penyelidik amatur kita boleh menjalankan kajian mengikut aturan yang digariskan dalam metodologi kajian. Tetapi beza antara penyelidik amatur dan berpengalaman mungkin berdasarkan sumbangan mereka kepada ilmu yang dibangunkan. Seingat saya kajian saya pada peringkat ijazah sarjana muda hanya mengulang kajian lepas dan diukur dalam konteks Malaysia. 

Sehingga minggu terakhir di bulan ketiga PhD usaha saya untuk merangka model kajian masih diteruskan. Masa berjalan dengan laju, tekanan juga semakin terasa. Banyak sudah konsep-konsep gelagat organisasi diulangkaji tetapi untuk mendapatkan pembolehubah yang signifikan dan boleh dikaitkan dengan konsep perkongsian maklumat/ilmu memang memakan masa yang panjang untuk memahamkannya. Sekarang saya masih membaca mengenai Attachment Theory atau saya terjemahkan sebagai Teori Kebergantungan. Saya cuba mencari terjemahan terbaik kepada perkataan ini dengan menggunakan Google Translate yang akhirnya memberikan saya cadangan sebagai teori lampiran. Teori Lampiran?? Bunyinya agak pelik. Saya memutuskan untuk menggunakan Teori Kebergantungan yang lebih sedap bunyinya sepanjang artikel ini.

Memandangkan pemahaman saya kepada teori ini masih cetek tetapi tujuan artikel ini ditulis adalah untuk merumuskan pemahaman saya kepada teori ini. Saya yakin sekiranya banyak lagi pembacaan di buat, pemahaman akan menjadi lebih baik. Tapi saya pilih untuk tidak menunggu sehingga saya benar-benar faham, saya hanya mahu mencabar otak saya memproses maklumat yang telah saya terima sejak minggu lepas lagi. Artikel ini juga sekurang-kurangnya mengukur kemampuan saya menulis tajuk ini yang memerlukan pemahaman secara lebih akademik. Satu faktor kesukaran dalam menghabiskan artikel ini adalah kenkangan Bahasa. Oleh kerana kesemua artikel yang dibaca dalam Bahasa Inggeris maka terma-terma yang digunakan lebih sesuai dalam Bahasa yang asal. Apabila ingin di tulis dalam Bahasa Melayu saya terpaksa mencari-cari perkataan yang sesuai dan akhirnya membuatkan saya terasa seperti saya gagal memahami artikel yang di baca.

Teori ini menerangkan bahawa setiap individu mempunyai orientasi kebergantungan yang berbeza. Teori ini diasaskan oleh Bowlby (1982) menerangkan bagaimana anak-anak haiwan yang bergantung kepada golongan dewasa dan ibubapa untuk meneruskan hidup dan membina hubungan dalam konteks sosialnya. Selepas itu, teori ini dikembangkan kepada hubungan anak dan ibubapa dan hubungan romantik yang banyak dibincangkan dalam bidang psikologi. Tetapi sejak akhir-akhir ini teori ini juga telah diperkenalkan ke dalam gelagat organisasi dalam menerangkan hubungan antara rakan sekerja dan hubungan pekerja dan penyelianya.

Menurut teori ini, setiap ini individu memerlukan hubungan dalam keadaan yang berbeza-beza. Ada yang sangat bergantung kepada orang lain manakala ada yang tidak ingin mempunyai hubungan yang rapat dengan orang lain. 2 golongan ini dikenali sebagai insecure attached style iaitu (1) avoidant – mengelakkan kebergantungan, (2) anxiety – sangat-sangat bergantung. Sebaliknya, bagi individu yang rendah dalam kedua-dua gaya ini dikenali sebagai securely attached style. Bagi individu yang anxiety menunjukkan sifat-sifat yang sangat bergantung kepada orang lain dan mempunyai persepsi negatif kepada diri sendiri. Persepsi negatif ini membuatkan mereka sangat memerlukan penerimaan dan pengesahan dari orang lain dan takut tidak diterima oleh orang lain. Manakala, bagi individu yang avoidant pula mereka mempunyai persepsi negatif kepada orang lain. Individu yang avoidant tidak mempercayai orang lain, dan cuba mengelakkan hubungan yang rapat dengan orang lain.

Setelah berjumpa Dr Rasidah dan memberitahu beliau bahawa saya mahu menggunakan teori ini beliau saya diam sahaja sepanjang saya menerangkan kepadanya. Memang pada waktu itu saya tidak lagi membaca dengan banyak justeru beberapa persoalan yang diutarakan oleh Dr Rasidah gagal saya jawab dengan baik. Inilah sebabnya kenapa saya berpeluh-peluh dan merasa panas selepas berjumpa beliau. Tapi saya belajar satu perkara iaitu persediaan yang saya buat itu rupanya belum mampu mencapai tahap yang digariskan oleh beliau. Walaubagaimanapun, Dr Rasidah memberitahu beliau bukan tidak bersetuju tapi justifikasi saya perlu diperkemaskan lagi. Justeru, saya mengambil nota-nota penting yang saya kira inilah buah untuk menjawab persoalannya. Antaranya saya perlu mengingati penulis yang ingin saya guna ideanya, setakat berkata “saya rasa….” atau “saya fikir….” itu memang tidak boleh diterima.

Dr Rasida turut memberikan pandangan dan idea untuk saya melihat teori ini dari perspektif berbeza seperti adakah ianya boleh dijadikan pembolehubah moderator, dan juga pembolehubah seperti budaya. Setakat pembacaan saya selama seminggu ini, saya berjaya menemui bukti Teori Kebergantungan ini untuk dikaitkan dengan tingkalaku kerja seperti job burnout, prestasi (performance), tekanan (stress), kepuasan kerja (job satisfaction), gelagat membantu (helping behaviour), dan niat berhenti (turnover intention). Juga terdapat satu artikel menarik yang membincangkan bagaimana teori ini menerangkan gelagat individu dalam menyebarkan maklumat melalui laman web. Penulis menguji hipotesisnya dalam 3 kajian untuk mendapatkan hasil kajian yang jitu (sila baca lanjut Yaakobi dan Goldenberg, 2014). Terdapat juga penulis yang menyarankan supaya teori ini diuji secara dyadic sepertimana penyiasatan yang dibuat antara ibubapa dan anak-anak untuk mendapatkan penemuan yang lebih sahih.

Esok saya masih perlu membaca lagi teori ini dan kefahaman perlu dicari dengan segera kerana Isnin minggu hadapan saya bercadang untuk berjumpa dengan Dr Rasidah. Setelah melalui 2 pengalaman yang menakutkan berjumpa dengan penyelia, saya tidak mahu mengulanginya lagi. Memandangkan Sabtu dan Ahad saya perlu menghadiri kelas metodologi dari pagi hingga ke petang maka saya hanya mampu berdoa kepada Allah supaya saya diberikan ilham untuk menangani Dr Rasidah dengan lebih cerdik. Cerdik selayaknya pelajar pasca siswazah.

1050 patah perkataan

Nov 26, 2015

Jalan-jalan yang saya lalui

1000 patah perkataan masih menjadi misi. Hari ini saya berjaya membaca 1 artikel berbanding semalam berjaya menghabiskan 3 artikel. Terasa prestasi sedikit menurun pada hari ini. Bangi masih dilimpahi hujan yang lebat. Kini tidak tentu masa pagi mahupun petang. Keadaan jalan raya yang kurang elok di Jalan Reko menyukarkan lagi penduduknya. Penduduk di sini banyak sekali ke sana ke sini menguruskan kehidupan mereka. Alhamdulillah, sebahagian dari kami memiliki kenderaan berbumbung namun, tidak kurang yang hanya mampu berjalan kaki, menaiki basikal dan menunggang motorsikal.

Sekitar Jalan Reko yang menghubungkan Bangi dan Kajang dihuni penduduk yang datang dari pelbagai bangsa dan budaya. Kawasan Hentian Kajang di huni oleh warga asing yang rata-rata bekerja kilang. Ada sebahagian warga asing yang bekerja di kawasan pembinaan yang masih giat dibangunkan sekitar Kajang 2. Melihat kepada mereka yang bertungkus-lumus mencari rezeki begitu menginsafkan. Berjalan kaki beramai-ramai ke tempat kerja sambil membekal bekas makanan mereka berteduh di pondok bas sementara menunggu hujan reda. Rakyat tempatan juga berjuang meneruskan kehidupan mereka. Orang kita samada hanya mampu menaiki pengangkutan awam mahupun berkenderaan kecil, walaupun ramai juga berkenderaan mewah. Sibuk sekali kehidupan orang di sini, ke sekolah menghantar anak, ke kedai membeli keperluan dan terus memandu ke tempat kerja.

Sistem pengairan yang tidak sempurna di sepanjang jalan memburukkan lagi keadaan, sehinggakan penunggang-penunggan motosikal disimbahi air setiap kali ada kenderaan besar melalui kawasan yang digenangi air. Kasihan juga melihat kereta-kereta kecil dan lama yang terpaksa mengharungi air yang banyak dan tentunya memberi kesan kepada enjin kereta mereka. Air yang banyak juga menghalang pemandu mengesan lubang-lubang di jalan raya. Dalam keadaan direndami air, lubang-lubang itu seakan perangkap kepada semua kenderaan. Bagi mereka yang boleh membaca lubang itu dapatlah mereka mengelak. Bagi yang buta jalan di sini mereka tiada pilihan dan terpaksa melalui lubang-lubang tersebut. Ada riak sesal dan marah setelah berkali-kali memasuki perangkap, maklumlah lubang-lubang di Jalan Reko seakan disusun berjujuk.

Begitulah kehidupan ini yang diatur oleh Allah ada yang lebih ada yang kurang. Tapi setiap kali terpandang wajah-wajah yang berjalan kaki, wajah mereka yang mengayuh basikal, wajah yang menunggang motorsikal, wajah yang memandu kenderaan kecil masih ada senyum di wajah mereka. Senyuman yang ikhlas sekali, walaupun saling tidak mengenali. Masih ada anggukan dan isyarat tangan saat memberi laluan kepada mereka. Wajah yang memandu kenderaan besar tidak dapat dilihat dengan jelas riak wajah mereka kerana dilindungi cermin gelap. Wajah pemandu bas juga tidak dapat diduga lantaran ketinggian bas dan biasan cahaya pada cermin menyukarkan penglihatan saya. Di Jalan Reko saya masih nampak tolak ansur pemandu di sini. Jalan Reko menuntut kesabaran, budi Bahasa dan rasa hormat para penggunanya.

Jalan PhD juga begitu, ada lubang, ada rata, adakalanya lurus, adakalanya bengkok, ada berbukit, ada mendatar. Di jalan PhD tentunya ada lampu hijau, kuning dan merah yang mengatur perjalanan kita. Di jalan PhD ini juga ada ramai pengguna lain yang turut melaluinya maka, saya tahu saya tidak keseorangan. Ada orang bergerak dengan perlahan, ada yang bergerak dengan laju, ada yang memotong, ada yang ditinggalkan. Ada yang kecil bergerak pantas, ada yang besar bergerak perlahan. Masing-masing dengan perlaburan sendiri, ada jiwa yang dibawa bersama, ada harta, ada harapan, dan ada akal yang semuanya perlu diadun sebaik mungkin di jalan Phd. Ada yang bermula dengan pengalaman terdahulu namun tidak kurang yang bergerak di jalan Phd tanpa apa-apa bekalan. Ada yang basah berjeruk melaluinya, di saat ada juga melalui dengan aman dan tenang. Ada yang dibiayai, ada yang berhutang seperti layaknya kita memiliki kenderaan. Jalan PhD penuh cerita seperti cerita di Jalan Reko.

Saya tidak tahu bagaimana saya akan melalui jalan PhD saya. Terasa jalan ini masih panjang. Jika boleh ingin saya membina jalan ini sendiri tapi itu mustahil. Seperti Jalan Reko yang dibina oleh pemerintah, jalan ini juga ramai pengguna, ada penguasa, ada undang-undang dan ada cuaca yang diatur Allah. Tapi yang pasti sebahagian besar pengguna Jalan Reko akhirnya sampai ke destinasi mereka, perlahan atau pantas masing-masing tahu arah tujuan masing-masing dan setiap mereka ingin segera sampai. Namun, ada juga yang terkandas di tepi jalan kerana mengalami kerosakkan, ada juga yang mengalami kecederaan dan tidak mustahil ada yang mengakhiri kehidupan mereka di jalan ini (setakat saya belum pernah menyaksikan kemalangan di Jalan Reko).  Begitu juga PhD yang menuntut peluh, air mata dan mungkin juga darah.

Kisah menarik pelajar seliaan Dr Rasidah yang melalui jalan PhD yang panjang sehingga 7 tahun. Memulakan pengajian, bertemu jodoh, 2 kali mengandung dan melahirkan dan akhirnya selamat juga sampai ke destinasi akhir. Alhamdulillah. Kisah ini sangat luar biasa kerana beliau akhirnya berjaya mendapat gelaran Dr di samping dikurniakan 2 cahaya mata. Tentulah banyak darah yang ditumpahkan demi melahirkan 2 anak itu. Sementara air mata dan peluh yang boleh saya jangkakan juga sangat banyak. Cerita yang sangat memberi inspirasi. Betullah kata senior, Phd bukan diukur melalui kepintaran semata-mata tetapi ia adalah pengalaman unik setiap individu. Ada banyak faktor yang mempengaruhi perjalanan ini; diri sendiri dan faktor luaran. Faktor diri sendiri yang boleh kita kawal, manakala faktor luaran yang tiada kuasa untuk kita menentukannya.

Pencapaian (Sumber: Google Image)

Setakat hari ini, jalan PhD dilalui dengan lancar. Tapi masih terlalu awal untuk mengukur. Alhamdulillah saya berjumpa dengan ramai rakan-rakan yang menyokong. Ramai kawan baru dari pelbagai bidang yang saya temui. Dengan menghadiri kursus-kursus dan bengkel ia membuka perspektif saya bahawa PhD ini sangat menarik. Setakat ini ia benar-benar membawa perubahan yang besar dalam hidup saya. Alhamdulillah saya tidak perlu lagi melalui hari-hari yang membosankan iaitu mengulang-ulang syarahan 2 kali setahun. Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Ada banyak perasaan di jalan PhD seperti yang diceritakan oleh senior-senior. Setiap senior ada cerita mereka sendiri ada yang gembira ada yang sedih. Tapi setakat yang saya dengan cerita Dr Azu paling tragis sekali. Beliau juga melalui PhDnya selama 7 tahun dengan berpindah universiti dan seterusnya bertukar penyelia dan semua ini berlaku di United Kingdom. Alhamdulillah, Dr Azu berjaya juga dan inilah kisah orang hebat.  

Dalam banyak-banyak perasaan, perasaan yang paling ingin dihindarkan adalah perasaan takut disaat berjumpa penyelia. Aduh, setiap kali ingin bertemu Dr Rasidah memang saya rasa berdebar-debar. Justeru, bagi mengelakkan kelihatan seperti bodoh di depan Dr maka saya akan pastikan saya bersedia dengan membaca terlebih dahulu. Tapi setakat ini, setiap kali Dr menduga kefahaman saya, alamak saya terperangkap. Itu menunjukkan persediaan masih kurang, dan mula saya rasa panik. Perasaan selepas jumpa Dr Rasidah lebih menarik lagi apabila saya akan merasa panas dan tidak selesa. Biasanya selepas itu saya akan terus sahaja ke kafe, memang tiada mood hendak kembali membaca. Dengan hanya membaca 1 artikel sahaja pada hari ini, saya memang mencari penyakit. Saya telah menghantar pesanan kepada Dr untuk berjumpa beliau pada minggu depan untuk berbincang tentang idea terbaru saya jadi saya harus menggandakan usaha. Soalan-soalan Dr pada perjumpaan lepas saya telah catat dan diharapkan kali ini saya berjaya menjawab soalan-soalan tersebut. Huda, bangunlah dan terus membaca! 

Tiada kapsyen hanya kerana Minions sudah terlalu comel (Sumber: Google Image)

Nov 25, 2015

PhD, buat macam pergi kerja.

Alhamdulillah semalam berjaya menulis melebihi 1000 patah perkataan. Justeru, hari ini niat murni diteruskan sambil memikir-mikir apa sebenarnya yang hendak diceritakan. Sebelum tulisan diteruskan saya sudah pilih tajuk berkisar soal “anggaplah PhD macam pergi kerja”. Semalam Dr Vijay dan ramai lagi senior-senior sudah pernah berpesan, untuk kekal konsisten dalam kerja PhD buat macam pergi kerja. Pergi kerja jam 9.00 pagi balik jam 5.00 petang itulah sahaja rahsianya. Oleh kerana UKM tak jauh sangat jadi dalam 8.30 pagi saya dah keluar rumah, ada sikit masa nak pergi tandas atau pergi makan sebelum 9.00 pagi saya mula bekerja.

Masuk sahaja jam 5.00 petang saya sudah mula siap-siap hendak balik. Tapi saya biasanya suka solat Asar dulu di sekolah, jadi dalam jam 5.30 hingga 5.45 petang saya akan bergerak pulang. Bezanya kini, semasa bekerja kita ada kad perakam waktu yang perlu diketip. Tapi sekarang tiada kad dan tiada sesiapa yang akan memerhatikan kita samada kita telah mula bekerja atau belum.

Boleh sahaja saya mengelat, sebagai contoh ambil masa yang lama untuk makan tengahari ataupun rehat pagi. Memang tiada siapa yang akan bertanya, kerja PhD dah sampai mana? Masa bekerja saya terikat dengan jadual kelas. Jadi, saya tidak mahu masuk ke kelas lambat kerana telah mengikat kontrak dengan para pelajar yang saya akan sampai awal ke kelas. ‘Kontrak psikologi’ adalahh konsepnya yang dibincangkan secara meluas dalam literatur kajian gelagat organisasi dan psikologi. Kontrak ini yang terbahagi kepada dua iaitu; kontrak hubungan dan kontrak transaksi. Dalam teori ini ia membincangkan persetujuan antara dua pihak ke atas sesuatu dalam hubungan mereka yang tidak semestinya ditulis. Sebagai contoh, pekerja dan ketua, sesama rakan sekerja dan anak dan ibubapa dn dalam kes saya pelajar dan guru. Ianya kontrak yang difahami oleh kedua-dua pihak secara sedar sesuai dengan namanya kontrak psikologi.

Sekiranya kontrak ini dipecahkan maka ia akan membawa kepada beberapa implikasi kepada pihak-pihak yang terlibat. Akibat ketidakpercayaan mungkin sahaja boleh berlaku penurunan dalam prestasi kerja, boleh jadi terjadilah tingkahlaku yang negatif seperti ponteng kerja, mencuri perkakas pejabat, mencuri masa, dan bermacam-macam lagi. Semua ini telah dibincangkan secara mendalam di dalam kajian-kajian lepas dan dibuktikan kebenarannya. Tetapi, dalam kes saya yang tidak dikawal selia oleh sesiapa, jadi bolehkah teori psikologi ini digunapakai? Saya boleh dianggap menandatangi kontrak psikologi ini dengan majikan saya, penaja saya, ibubapa saya, tuhan saya, dan diri saya sendiri.

Walaupun majikan tiada di depan mata, penaja tiada di depan mata, ibubapa dan keluarga tiada didepan mata apatah lagi ALLAH. Tapi mereka semua wujud, wujud dalam psikologi saya dan saya sedar akan kewujudan mereka adalah sangat signifikan. Kontrak psikologi antara saya dan diri sendiri? Sesuatu yang perlu difikirkan dengan lebih mendalam. Oleh kerana teori ini menekankan perjanjian adalah antara 2 pihak jadi, saya dan diri saya sendiri adalah orang yang sama. Mungkin juga ada teori lain yang lebih sesuai untuk menerangkan situasi ini seperti; konsep komitmen, motivasi kendiri, kepuasan kerja dan lain-lain lagi.

Tetapi kontrak PhD antara saya dengan majikan, penaja, ibubapa, keluarga dan ALLAH rasanya sukar untuk dicurangi oleh mereka, kecuali saya sendiri yang mengingkarinya. Sekiranya saya malas membaca, saya malas mencari bahan, saya malas bangun tidur, saya malas ke sekolah, saya malas berfikir dan bermacam-macam lagi MALAS maka, kesan mencurangi kontrak itu akan berakhir dengan rasa kecewa kepada diri saya sendiri. Kecewa kerana gagal menghabiskan PhD (diandaikan kes paling buruk, saya doa tidak berlaku). Sedikit ianya akan memberi kesan kepada penaja dan majikan. Majikan akan menerima seorang kakitangannya yang belum menamatkan pengajian dan lemau untuk mulakan tugas kerana kerana tertekan. Penaja perlu mengambilkira saya dalam statistik pelajar yang masih meneruskan pengajian PhD, yang mana statistik itu mahu dikurangkan.

Sekarang kontrak saya dengan ALLAH lebih membuatkan saya gusar memikirkannya. Saya yakin Islam pasti ingin umatnya berjaya, dan sejarah telah membuktikan kehebatan orang-orang yang beriman seperti para nabi, para sahabat, dan semua yang benar-benar memahami agama ini. Adakah para nabi dan golongan yang disebutkan di atas merasakan diri mereka sedang mengikat kontrak dengan ALLAH? Saya terfikir akan janji semua roh di saat ditanyakan adakah kita mengaku bahawa ALLAH adalah tuhan yang esa, dan semua roh menjawab kamulah TUHAN kami. Tetapi kenapa kontrak itu seakan mudah sekali dilupakan.

Tetapi rasa iman ini pelik sekali, di saat ALLAH tidak pernah kita lihat secara mata kasar tapi imanlah yang memandu perbuatan kita. Saya tidak mahu bercakap soal yang besar kerana iman saya begitu lemah. Namun, contoh biasa yang saya dengar dari ceramah-ceramah ustaz dan ustazah antaranya kita tidak akan minum air ketika kita sedang berpuasa di saat tiada orang yang memerhati. Dan pastinya banyak lagi contoh iman. Cuma saya rasa kadang-kadang saya lupa bahawa itu adalah iman kerana ia begitu rutin sekali. Di saat saya menulis artikel ini baru saya memikirkan adakah perbuatan saya itu adalah lambang keimanan.

Berbalik kepada tajuk di atas “buat PhD macam pergi kerja”, bolehkah saya mengambilkira kontrak psikologi PhD saya ini sebagai KEIMANAN. Di saat saya menaip perkataan keimanan sebentar tadi dalam huruf besar, meremang bulu roma saya memikirkan soal ini.
.
.
.
.
.
.
.

Saya berfikir sejenak, saya menganggap pengajian PhD ini adalah serius. Seterusnya, otak saya memutuskan PhD ini memang berkait dengan persoalan iman. Kontrak psikologi PhD saya ini bersama pihak-pihak yang terlibat adalah usaha-usaha dan kerja-kerja keimanan. Dalam kontrak ini saya tidaklah bermaksud menyamakan pihak-pihak lain dengan ALLAH, kerana dalam Islam; ALLAH itu ESA. Bekerja adalah tanggungjawab, menghabiskan penggajian PhD juga tanggungjawab. Ya ALLAH berilah saya kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi usaha PhD ini. 

Mulai hari ini saya perlu memikirkan kembali dan memikirkan sedalam-dalamnya akan niat saya menyambung PhD. Jika dikenang-kenang semasa bekerja ada sahaja masa-masa yang curi tulang, saya malas, dan pelbagai tingkahlaku yang tidak produktif maka tidak mustahil saya akan mengulangi perbuatan tersebut dalam tempoh penggajian ini. Tetapi saya tidak mahu membuat kerja yang sia-sia itu lagi dan merisikokan PhD ini. Teringat satu ceramah Ustaz Pahrol yang mengingatkan bahawa malas itu adalah sifat mazmumah. Ini bermaksud sekiranya kita malas, kita sebenarnya berdosa. Beliau menambah satu cara itu kita taubat dari sifat malas ini adalah dengan menjadi RAJIN. Bila fikir-fikir balik banyak sangat dosa malas kerana setiap hari saya merasa malas. Takut juga nih… Selepas ini perlu amalkan doa untuk mengelakkan dari sifat malas setiap hari.

Doa yang biasanya di baca dalam zikir Al Mathurat 3 kali pagi dan petang (Sumber: Google Image)

“Buat PhD macam pergi kerja”, satu idea yang disampaikan oleh senior-senior dalam satu ayat yang ringkas. Tapi maksudnya dalam sekali, samada buat PhD dan bekerja perlulah dibuat dengan bersungguh-sungguh. Mengambil pengajaran dari tokoh-tokoh Islam yang hebat dalam kepercayaan mereka kepada ALLAH, hebat dalam melaksanakan kerja-kerja seharian mereka. Mereka mampu menghafal Al-quran dan beribu-ribu Hadith, mereka mahir dalam ilmu mereka masing-masing seperti perubatan, astronomi, matematik, falsafah dan sebagainya. Kehebatan dan bakat mereka sudah tentulah berbekalkan iman mereka kepada ALLAH. Sesungguhnya manusia memang makhluk yang hebat diciptakan ALLAH, Subhanallah. Namun, melihat kepada diri sendiri saya merasa insaf mengapa saya tidak mampu menjadi sehebat itu.

NOTA:
25 November 2015 (dikemaskini pada 26 November 2015)
1121 patah perkataan

Teori dan konsep OB dalam artikel ini diterjemahkan seperti berikut. Tingkahlaku organisasi - Organizational behaviour; kepuasan kerja - Job satisfaction; motivasi kendiri – self motivation; kontrak psikologi - psychological contract; komitmen — commitment.