1000 patah
perkataan masih menjadi misi. Hari ini saya berjaya membaca 1 artikel
berbanding semalam berjaya menghabiskan 3 artikel. Terasa prestasi sedikit
menurun pada hari ini. Bangi masih dilimpahi hujan yang lebat. Kini tidak tentu
masa pagi mahupun petang. Keadaan jalan raya yang kurang elok di Jalan Reko
menyukarkan lagi penduduknya. Penduduk di sini banyak sekali ke sana ke sini
menguruskan kehidupan mereka. Alhamdulillah, sebahagian dari kami memiliki
kenderaan berbumbung namun, tidak kurang yang hanya mampu berjalan kaki,
menaiki basikal dan menunggang motorsikal.
Sekitar Jalan
Reko yang menghubungkan Bangi dan Kajang dihuni penduduk yang datang dari
pelbagai bangsa dan budaya. Kawasan Hentian Kajang di huni oleh warga asing
yang rata-rata bekerja kilang. Ada sebahagian warga asing yang bekerja di
kawasan pembinaan yang masih giat dibangunkan sekitar Kajang 2. Melihat kepada
mereka yang bertungkus-lumus mencari rezeki begitu menginsafkan. Berjalan kaki
beramai-ramai ke tempat kerja sambil membekal bekas makanan mereka berteduh di
pondok bas sementara menunggu hujan reda. Rakyat tempatan juga berjuang meneruskan
kehidupan mereka. Orang kita samada hanya mampu menaiki pengangkutan awam
mahupun berkenderaan kecil, walaupun ramai juga berkenderaan mewah. Sibuk
sekali kehidupan orang di sini, ke sekolah menghantar anak, ke kedai membeli
keperluan dan terus memandu ke tempat kerja.
Sistem pengairan
yang tidak sempurna di sepanjang jalan memburukkan lagi keadaan, sehinggakan
penunggang-penunggan motosikal disimbahi air setiap kali ada kenderaan besar
melalui kawasan yang digenangi air. Kasihan juga melihat kereta-kereta kecil
dan lama yang terpaksa mengharungi air yang banyak dan tentunya memberi kesan
kepada enjin kereta mereka. Air yang banyak juga menghalang pemandu mengesan
lubang-lubang di jalan raya. Dalam keadaan direndami air, lubang-lubang itu
seakan perangkap kepada semua kenderaan. Bagi mereka yang boleh membaca lubang
itu dapatlah mereka mengelak. Bagi yang buta jalan di sini mereka tiada pilihan
dan terpaksa melalui lubang-lubang tersebut. Ada riak sesal dan marah setelah
berkali-kali memasuki perangkap, maklumlah lubang-lubang di Jalan Reko seakan
disusun berjujuk.
Begitulah
kehidupan ini yang diatur oleh Allah ada yang lebih ada yang kurang. Tapi
setiap kali terpandang wajah-wajah yang berjalan kaki, wajah mereka yang
mengayuh basikal, wajah yang menunggang motorsikal, wajah yang memandu
kenderaan kecil masih ada senyum di wajah mereka. Senyuman yang ikhlas sekali,
walaupun saling tidak mengenali. Masih ada anggukan dan isyarat tangan saat
memberi laluan kepada mereka. Wajah yang memandu kenderaan besar tidak dapat
dilihat dengan jelas riak wajah mereka kerana dilindungi cermin gelap. Wajah
pemandu bas juga tidak dapat diduga lantaran ketinggian bas dan biasan cahaya
pada cermin menyukarkan penglihatan saya. Di Jalan Reko saya masih nampak tolak
ansur pemandu di sini. Jalan Reko menuntut kesabaran, budi Bahasa dan rasa
hormat para penggunanya.
Jalan PhD juga
begitu, ada lubang, ada rata, adakalanya lurus, adakalanya bengkok, ada
berbukit, ada mendatar. Di jalan PhD tentunya ada lampu hijau, kuning dan merah
yang mengatur perjalanan kita. Di jalan PhD ini juga ada ramai pengguna lain
yang turut melaluinya maka, saya tahu saya tidak keseorangan. Ada orang bergerak
dengan perlahan, ada yang bergerak dengan laju, ada yang memotong, ada yang
ditinggalkan. Ada yang kecil bergerak pantas, ada yang besar bergerak perlahan.
Masing-masing dengan perlaburan sendiri, ada jiwa yang dibawa bersama, ada
harta, ada harapan, dan ada akal yang semuanya perlu diadun sebaik mungkin di
jalan Phd. Ada yang bermula dengan pengalaman terdahulu namun tidak kurang yang
bergerak di jalan Phd tanpa apa-apa bekalan. Ada yang basah berjeruk
melaluinya, di saat ada juga melalui dengan aman dan tenang. Ada yang dibiayai,
ada yang berhutang seperti layaknya kita memiliki kenderaan. Jalan PhD penuh
cerita seperti cerita di Jalan Reko.
Saya tidak tahu
bagaimana saya akan melalui jalan PhD saya. Terasa jalan ini masih panjang.
Jika boleh ingin saya membina jalan ini sendiri tapi itu mustahil. Seperti
Jalan Reko yang dibina oleh pemerintah, jalan ini juga ramai pengguna, ada
penguasa, ada undang-undang dan ada cuaca yang diatur Allah. Tapi yang pasti
sebahagian besar pengguna Jalan Reko akhirnya sampai ke destinasi mereka,
perlahan atau pantas masing-masing tahu arah tujuan masing-masing dan setiap
mereka ingin segera sampai. Namun, ada juga yang terkandas di tepi jalan kerana
mengalami kerosakkan, ada juga yang mengalami kecederaan dan tidak mustahil ada
yang mengakhiri kehidupan mereka di jalan ini (setakat saya belum pernah
menyaksikan kemalangan di Jalan Reko). Begitu
juga PhD yang menuntut peluh, air mata dan mungkin juga darah.
Kisah menarik
pelajar seliaan Dr Rasidah yang melalui jalan PhD yang panjang sehingga 7 tahun.
Memulakan pengajian, bertemu jodoh, 2 kali mengandung dan melahirkan dan
akhirnya selamat juga sampai ke destinasi akhir. Alhamdulillah. Kisah ini
sangat luar biasa kerana beliau akhirnya berjaya mendapat gelaran Dr di samping
dikurniakan 2 cahaya mata. Tentulah banyak darah yang ditumpahkan demi
melahirkan 2 anak itu. Sementara air mata dan peluh yang boleh saya jangkakan
juga sangat banyak. Cerita yang sangat memberi inspirasi. Betullah kata senior,
Phd bukan diukur melalui kepintaran semata-mata tetapi ia adalah pengalaman unik
setiap individu. Ada banyak faktor yang mempengaruhi perjalanan ini; diri
sendiri dan faktor luaran. Faktor diri sendiri yang boleh kita kawal, manakala
faktor luaran yang tiada kuasa untuk kita menentukannya.
Pencapaian (Sumber: Google Image) |
Setakat hari ini,
jalan PhD dilalui dengan lancar. Tapi masih terlalu awal untuk mengukur.
Alhamdulillah saya berjumpa dengan ramai rakan-rakan yang menyokong. Ramai
kawan baru dari pelbagai bidang yang saya temui. Dengan menghadiri
kursus-kursus dan bengkel ia membuka perspektif saya bahawa PhD ini sangat
menarik. Setakat ini ia benar-benar membawa perubahan yang besar dalam hidup
saya. Alhamdulillah saya tidak perlu lagi melalui hari-hari yang membosankan
iaitu mengulang-ulang syarahan 2 kali setahun. Saya gembira dengan kehidupan
saya sekarang. Ada banyak perasaan di jalan PhD seperti yang diceritakan oleh
senior-senior. Setiap senior ada cerita mereka sendiri ada yang gembira ada
yang sedih. Tapi setakat yang saya dengan cerita Dr Azu paling tragis sekali.
Beliau juga melalui PhDnya selama 7 tahun dengan berpindah universiti dan
seterusnya bertukar penyelia dan semua ini berlaku di United Kingdom.
Alhamdulillah, Dr Azu berjaya juga dan inilah kisah orang hebat.
Dalam
banyak-banyak perasaan, perasaan yang paling ingin dihindarkan adalah perasaan
takut disaat berjumpa penyelia. Aduh, setiap kali ingin bertemu Dr Rasidah
memang saya rasa berdebar-debar. Justeru, bagi mengelakkan kelihatan seperti
bodoh di depan Dr maka saya akan pastikan saya bersedia dengan membaca terlebih
dahulu. Tapi setakat ini, setiap kali Dr menduga kefahaman saya, alamak saya
terperangkap. Itu menunjukkan persediaan masih kurang, dan mula saya rasa
panik. Perasaan selepas jumpa Dr Rasidah lebih menarik lagi apabila saya akan
merasa panas dan tidak selesa. Biasanya selepas itu saya akan terus sahaja ke
kafe, memang tiada mood hendak kembali membaca. Dengan hanya membaca 1 artikel
sahaja pada hari ini, saya memang mencari penyakit. Saya telah menghantar
pesanan kepada Dr untuk berjumpa beliau pada minggu depan untuk berbincang
tentang idea terbaru saya jadi saya harus menggandakan usaha. Soalan-soalan Dr
pada perjumpaan lepas saya telah catat dan diharapkan kali ini saya berjaya
menjawab soalan-soalan tersebut. Huda, bangunlah dan terus membaca!
Tiada kapsyen hanya kerana Minions sudah terlalu comel (Sumber: Google Image) |