Alhamdulillah
semalam berjaya menulis melebihi 1000 patah perkataan. Justeru, hari ini niat
murni diteruskan sambil memikir-mikir apa sebenarnya yang hendak diceritakan.
Sebelum tulisan diteruskan saya sudah pilih tajuk berkisar soal “anggaplah PhD
macam pergi kerja”. Semalam Dr Vijay dan ramai lagi senior-senior sudah pernah
berpesan, untuk kekal konsisten dalam kerja PhD buat macam pergi kerja. Pergi
kerja jam 9.00 pagi balik jam 5.00 petang itulah sahaja rahsianya. Oleh kerana
UKM tak jauh sangat jadi dalam 8.30 pagi saya dah keluar rumah, ada sikit masa
nak pergi tandas atau pergi makan sebelum 9.00 pagi saya mula bekerja.
Masuk sahaja jam
5.00 petang saya sudah mula siap-siap hendak balik. Tapi saya biasanya suka
solat Asar dulu di sekolah, jadi dalam jam 5.30 hingga 5.45 petang saya akan
bergerak pulang. Bezanya kini, semasa bekerja kita ada kad perakam waktu yang
perlu diketip. Tapi sekarang tiada kad dan tiada sesiapa yang akan memerhatikan
kita samada kita telah mula bekerja atau belum.
Boleh sahaja
saya mengelat, sebagai contoh ambil masa yang lama untuk makan tengahari
ataupun rehat pagi. Memang tiada siapa yang akan bertanya, kerja PhD dah sampai
mana? Masa bekerja saya terikat dengan jadual kelas. Jadi, saya tidak mahu
masuk ke kelas lambat kerana telah mengikat kontrak dengan para pelajar yang
saya akan sampai awal ke kelas. ‘Kontrak psikologi’ adalahh konsepnya yang
dibincangkan secara meluas dalam literatur kajian gelagat organisasi dan
psikologi. Kontrak ini yang terbahagi kepada dua iaitu; kontrak hubungan dan
kontrak transaksi. Dalam teori ini ia membincangkan persetujuan antara dua
pihak ke atas sesuatu dalam hubungan mereka yang tidak semestinya ditulis. Sebagai
contoh, pekerja dan ketua, sesama rakan sekerja dan anak dan ibubapa dn dalam
kes saya pelajar dan guru. Ianya kontrak yang difahami oleh kedua-dua pihak
secara sedar sesuai dengan namanya kontrak psikologi.
Sekiranya kontrak
ini dipecahkan maka ia akan membawa kepada beberapa implikasi kepada
pihak-pihak yang terlibat. Akibat ketidakpercayaan mungkin sahaja boleh berlaku
penurunan dalam prestasi kerja, boleh jadi terjadilah tingkahlaku yang negatif
seperti ponteng kerja, mencuri perkakas pejabat, mencuri masa, dan
bermacam-macam lagi. Semua ini telah dibincangkan secara mendalam di dalam
kajian-kajian lepas dan dibuktikan kebenarannya. Tetapi, dalam kes saya yang
tidak dikawal selia oleh sesiapa, jadi bolehkah teori psikologi ini digunapakai?
Saya boleh dianggap menandatangi kontrak psikologi ini dengan majikan saya, penaja
saya, ibubapa saya, tuhan saya, dan diri saya sendiri.
Walaupun majikan
tiada di depan mata, penaja tiada di depan mata, ibubapa dan keluarga tiada didepan
mata apatah lagi ALLAH. Tapi mereka semua wujud, wujud dalam psikologi saya dan
saya sedar akan kewujudan mereka adalah sangat signifikan. Kontrak psikologi
antara saya dan diri sendiri? Sesuatu yang perlu difikirkan dengan lebih mendalam.
Oleh kerana teori ini menekankan perjanjian adalah antara 2 pihak jadi, saya
dan diri saya sendiri adalah orang yang sama. Mungkin juga ada teori lain yang
lebih sesuai untuk menerangkan situasi ini seperti; konsep komitmen, motivasi
kendiri, kepuasan kerja dan lain-lain lagi.
Tetapi kontrak
PhD antara saya dengan majikan, penaja, ibubapa, keluarga dan ALLAH rasanya
sukar untuk dicurangi oleh mereka, kecuali saya sendiri yang mengingkarinya. Sekiranya
saya malas membaca, saya malas mencari bahan, saya malas bangun tidur, saya
malas ke sekolah, saya malas berfikir dan bermacam-macam lagi MALAS maka, kesan
mencurangi kontrak itu akan berakhir dengan rasa kecewa kepada diri saya
sendiri. Kecewa kerana gagal menghabiskan PhD (diandaikan kes paling buruk,
saya doa tidak berlaku). Sedikit ianya akan memberi kesan kepada penaja dan
majikan. Majikan akan menerima seorang kakitangannya yang belum menamatkan
pengajian dan lemau untuk mulakan tugas kerana kerana tertekan. Penaja perlu
mengambilkira saya dalam statistik pelajar yang masih meneruskan pengajian PhD,
yang mana statistik itu mahu dikurangkan.
Sekarang kontrak
saya dengan ALLAH lebih membuatkan saya gusar memikirkannya. Saya yakin Islam
pasti ingin umatnya berjaya, dan sejarah telah membuktikan kehebatan
orang-orang yang beriman seperti para nabi, para sahabat, dan semua yang
benar-benar memahami agama ini. Adakah para nabi dan golongan yang disebutkan
di atas merasakan diri mereka sedang mengikat kontrak dengan ALLAH? Saya
terfikir akan janji semua roh di saat ditanyakan adakah kita mengaku bahawa
ALLAH adalah tuhan yang esa, dan semua roh menjawab kamulah TUHAN kami. Tetapi
kenapa kontrak itu seakan mudah sekali dilupakan.
Tetapi rasa iman
ini pelik sekali, di saat ALLAH tidak pernah kita lihat secara mata kasar tapi
imanlah yang memandu perbuatan kita. Saya tidak mahu bercakap soal yang besar
kerana iman saya begitu lemah. Namun, contoh biasa yang saya dengar dari
ceramah-ceramah ustaz dan ustazah antaranya kita tidak akan minum air ketika
kita sedang berpuasa di saat tiada orang yang memerhati. Dan pastinya banyak
lagi contoh iman. Cuma saya rasa kadang-kadang saya lupa bahawa itu adalah iman
kerana ia begitu rutin sekali. Di saat saya menulis artikel ini baru saya
memikirkan adakah perbuatan saya itu adalah lambang keimanan.
Berbalik kepada
tajuk di atas “buat PhD macam pergi kerja”, bolehkah saya mengambilkira kontrak
psikologi PhD saya ini sebagai KEIMANAN. Di saat saya menaip perkataan keimanan
sebentar tadi dalam huruf besar, meremang bulu roma saya memikirkan soal ini.
.
.
.
.
.
.
.
Saya berfikir
sejenak, saya menganggap pengajian PhD ini adalah serius. Seterusnya, otak saya
memutuskan PhD ini memang berkait dengan persoalan iman. Kontrak psikologi PhD
saya ini bersama pihak-pihak yang terlibat adalah usaha-usaha dan kerja-kerja
keimanan. Dalam kontrak ini saya tidaklah bermaksud menyamakan pihak-pihak lain
dengan ALLAH, kerana dalam Islam; ALLAH itu ESA. Bekerja adalah tanggungjawab,
menghabiskan penggajian PhD juga tanggungjawab. Ya ALLAH berilah saya kekuatan
dan kesabaran dalam mengharungi usaha PhD ini.
Mulai hari ini
saya perlu memikirkan kembali dan memikirkan sedalam-dalamnya akan niat saya
menyambung PhD. Jika dikenang-kenang semasa bekerja ada sahaja masa-masa yang
curi tulang, saya malas, dan pelbagai tingkahlaku yang tidak produktif maka
tidak mustahil saya akan mengulangi perbuatan tersebut dalam tempoh penggajian
ini. Tetapi saya tidak mahu membuat kerja yang sia-sia itu lagi dan merisikokan
PhD ini. Teringat satu ceramah Ustaz Pahrol yang mengingatkan bahawa malas itu
adalah sifat mazmumah. Ini bermaksud sekiranya kita malas, kita sebenarnya
berdosa. Beliau menambah satu cara itu kita taubat dari sifat malas ini adalah
dengan menjadi RAJIN. Bila fikir-fikir balik banyak sangat dosa malas kerana
setiap hari saya merasa malas. Takut juga nih… Selepas ini perlu amalkan doa
untuk mengelakkan dari sifat malas setiap hari.
Doa yang biasanya di baca dalam zikir Al Mathurat 3 kali pagi dan petang (Sumber: Google Image) |
“Buat PhD macam
pergi kerja”, satu idea yang disampaikan oleh senior-senior dalam satu ayat
yang ringkas. Tapi maksudnya dalam sekali, samada buat PhD dan bekerja perlulah
dibuat dengan bersungguh-sungguh. Mengambil pengajaran dari tokoh-tokoh Islam
yang hebat dalam kepercayaan mereka kepada ALLAH, hebat dalam melaksanakan
kerja-kerja seharian mereka. Mereka mampu menghafal Al-quran dan beribu-ribu
Hadith, mereka mahir dalam ilmu mereka masing-masing seperti perubatan, astronomi,
matematik, falsafah dan sebagainya. Kehebatan dan bakat mereka sudah tentulah
berbekalkan iman mereka kepada ALLAH. Sesungguhnya manusia memang makhluk yang
hebat diciptakan ALLAH, Subhanallah. Namun, melihat kepada diri sendiri saya
merasa insaf mengapa saya tidak mampu menjadi sehebat itu.
NOTA:
25 November 2015 (dikemaskini pada 26 November 2015)
1121 patah perkataan
Teori dan konsep OB dalam artikel ini diterjemahkan seperti
berikut. Tingkahlaku organisasi - Organizational behaviour; kepuasan kerja - Job
satisfaction; motivasi kendiri – self motivation; kontrak psikologi - psychological
contract; komitmen — commitment.