Hari ini saya mengikuti bengkel
PhD di USIM bersama fasilitator Dr Vijay Kumar Mallan dari Otago University.
Dr Vijay memperkenalkan beberapa konsep dan idea untuk menjadi pelajar PhD yang
lebih efektif. Antaranya bagaimana mengasah bakat kita untuk menulis. Saranan
Dr Vijay setiap pelajar mesti menulis sekurang-kurangnya 1000 patah perkataan
sehari. Jadi artikel yang saya tulis ini adalah untuk menyahut saranan Dr
Vijay.
Bagi menjayakan misi ini saya sudah
tetapkan sasaran untuk mengemaskini blog ini setiap hari dengan menulis tentang
apa-apa yang berkaitan dengan kerja-kerja PhD saya. Saya sempat bertanya kepada
Dr Vijay, apa yang saya boleh tulis di peringkat awal pengajian PhD saya? Dan
jawab Dr Vijay, tulislah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan apa yang kita
fikirkan pada hari tersebut, atau mungkin juga rumusan artikel yang dibaca pada
hari tersebut. Jadi cabaran saya sekarang adalah untuk istiqomah menulis dan
menaip di komputer ini setiap hari. Justeru, saya perlu memberi tugasan kepada
diri sendiri.
Tugasan kepada diri sendiri untuk
menulis setiap hari membenarkan otak saya berfikir tentang beberapa perkara.
Pertama, saya mesti memikirkan apa tajuk yang perlu saya tulis kerana saya
perlu pastikan topik saya tidak terlalu umum. Kedua, saya perlu memikirkan masa
yang sesuai untuk saya menulis, saya tidak mahu menulis pada waktu produktif
yang sepatutnya luangkan untuk membaca artikel. Ketiga, saya mesti memikirkan
isi kandungan artikel saya dan susunannya supaya ianya menjadi artikel yang
berstruktur.
Semasa saya sedang menulis
artikel, saya sedang menjalankan proses berfikir. Saya berfikir apa yang perlu
saya tulis dan kesinambungannya. Walaupun beberapa kali sesuatu ayat dimulakan
dan dipadam kerana saya merasakan ianya tidak sesuai. Tetapi setiap kali satu
perkatan berjaya ditaip di skrin saya merasa seronok dan teruja melihat
bagaimana tulisan saya berkembang (sambil mata memandang ke arah “word count” dan sehingga perkataan INI
saya baru menulis 297 patah berkataan. Oohhhh.. saya ada 700 ratus perkataan
lagi untuk di tulis.
Sekarang, saya kena teruskan
menulis dan saya tidak boleh berhenti di sini. Saya perlu capai 1000 dalam
artikel pertama saya.
Memandangkan ini adalah tugasan
pertama saya, maka saya memberikan sedikit kelonggaran kepada diri sendiri
untuk menulis dalam Bahasa Melayu. Dengan cara ini ia memberikan saya sedikit
kelonggaran kepada diri sendiri untuk bermula dengan mudah. Tetapi saya telah
tetapkan bahawa dalam tempoh sebulan dari sekarang atau kurang dari itu saya
perlu mula menulis dalam Bahasa Inggeris. Saya telah memilih untuk menulis
tesis saya dalam Bahasa Inggeris jadi saya perlu mulakan strategi untuk
menambahbaik Bahasa Inggeris saya. Salah satu cara yang dikongsikan oleh
beberapa senior adalah dengan cara memberi perhatian tentang bagaimana sesuatu
ayat ditulis dalam artikel yang saya baca.
Oleh kerana, penulisan artikel
akademik dan artikel ringan adalah berbeza maka minat dan cinta kepada membaca
artikel akademik terutamanya di jurnal yang berkualiti adalah sangat penting.
Dalam tempoh 2 bulan setengah ini saya masih menghadapi masalah untuk fokus
kepada pembacaan kepada artikel tersebut. Satu artikel akademik mengambil masa
3 hingga 4 hari untuk dihabiskan. Kadang kala lebih malang lagi saya hanya
tinggalkan sahaja artikel tersebut tanpa saya habis membacanya. Saya seringkali
rasa kecewa kerana setelah hari petang saya dapati hari itu berlalu tanpa
menghasilkan apa-apa. Saya sedar dan faham sekiranya perkara ini berterusan
maka peluang saya untuk tamat pengajian dalam tempoh 3 tahun tidak akan
tercapai.
Dr Vijay juga ada melontarkan
persoalan “why are you doing a Phd?” saya memikir-mikir sendiri dan menjawab
mengapa saya mengambil keputusan untuk membuat PhD. Ada banyak jawapan yang
boleh saya berikan antaranya, saya inginkan perubahan dalam diri saya. Setelah
menghabiskan masa selama 6 tahun mengajar saya mula hilang minat mengajar. Saya
mula merasa bosan untuk masuk ke kelas, saya bosan mengulang-ulang silibus
walaupun di kelas yang berbeza dan kepada pelajar yang berbeza. Di saat rasa
bosan ini datang saya merasa begitu sedih sekali, adakah ini akhirnya hidup
saya dengan melakukan kerja yang sama setiap hari. Masuk kelas, memberi
syarahan berdasarkan silibus yang sama dan mengulangnya lagi pada semester
hadapan.
Saya juga merasa sedih, kerana
dulu saya merasakan mengajar adalah sesuatu kerja yang sangat mencabar tetapi
kini kenapa saya merasa mengajar langsung tidak mencabar lagi. Dulu saya selalu
memberi galakkan kepada pelajar saya yang berminat untuk mengajar, tapi
sekarang saya berasa saya telah memberi galakan yang salah. Satu peristiwa lucu
sewaktu saya berjalan untuk ke kelas, saya di sapa oleh seorang pensyarah
senior “Huda, awak nak pergi mana?” saya menjawab “Saya nak pergi ke kelas”
senior bertanya lagi “macam ni je awak pergi ke kelas?” setelah beliau hairan
mengapa saya berjalan dengan memegang sebatang marker pen sahaja untuk ke kelas. Saya menerangkan dengan cuba
memberi jawapan yang paling selamat sekali “saya ke kelas makmal, semua bahan
pengajaran saya di dalam I-learn portal” dan senior membalas lagi, “Huda, awak
memang hebatlah”. Saya ketawa walaupun terkejut di tanya sedemikian rupa.
Mendengar soalan itu membuatkan
saya berfikir. Dulu saya merasakan mengajar begitu mencabar kerana untuk ke
kelas saya akan membuat persediaan, saya akan membaca nota, menyediakan slaid,
mencari bahan tambahan kepada kuliah saya dan bermacam-macam lagi hanya kerana
saya perlu bersedia sebaik mungkin untuk menyampaikan kuliah dan memberi
kefahaman kepada pelajar. Tapi setelah 5 tahun semua ini tidak perlu lagi
kerana saya merasa saya sangat-sangat bersedia. Silibus yang sama, format
pemarkahan yang sama, cuma pelajar yang berbeza. Lantas, mengajar tidak lagi
mencabar saya. Sebaliknya saya merasa letih kerana melakukan rutin yang sama
diulang 2 kali setahun (1 tahun ada 2 semester).
Saya pergi berjumpa Dr Wan, ketua
jabatan saya dan memberitahu beliau “Dr, saya rasa sangat bosan mengajar?” Dr
Wan menjawab “it is your time to do your
PhD”. Jawapan Dr Wan menyedarkan saya, oohhh saya boleh pilih untuk membuat
sesuatu yang lain selain dari mengajar untuk menghilangkan rasa bosan ini. “Okaylah
Dr, saya rasa mungkin inilah masanya saya perlu memikirkan tentang diri saya
sendiri”. Saya setuju dengan cadangan Dr Wan, saya perlu lakukan sesuatu yang
mencabar diri saya. Maka bermulalah usaha saya untuk meletakkan cita-cita untuk
menyambung PhD. Di peringkat awal saya masih “meletakkan” cita-cita kerana saya
masih mencari-cari maklumat bagaimana proses untuk menyambung PhD. Saya mula
bertanyakan kepada senior-senior yang telah menamatkan pengajian PhD dan mereka
yang sedang menyambung PhD. Bertuahnya saya pada masa itu, ada dua orang senior
yang baru kembali dari pengajian PhD mereka. Walaupun dikatakan baru tapi,
tidaklah baru sangat kerana Dr Ida dan Dr Sharifah sudah hampir setahun kembali
ke kampus. Tapi saya sendiri hairan kenapa dulu saya tidak perasan akan
kehadiran mereka untuk merangsang minat saya untuk menyambung pelajaran.
Sekarang saya faham, kemahuan
untuk menyambung PhD haruslah datang dari dalam diri kita sendiri, orang lain
mungkin boleh cadangkan kepada kita untuk sambung belajar. Tetapi saat saya
mengambil keputusan untuk membuat PhD adalah kerana tolakkan dari dalam iaitu
“saya nak buat phd kerana SAYA… ”.
Alhamdulillah sehingga ayat ini
saya telah melepasi 1000 patah perkataan. Artikel pertama saya mungkin sedikit
tidak teratur tapi saya seronok kerana terasa seperti otak ini digunakan
sepenuhnya. Saya perlu memerah apa yang ada di dalamnya untuk disampaikan dalam
artikel ini. Hari ini, saya dapat 2 perkara, pertama saya pergi ke USIM dan
menghadiri bengkel Dr Vijay dan kedua saya berjaya menulis lebih dari 1000
patah perkataan. Walaupun saya tidak membaca satu perenggan pun artikel PhD
saya pada hari ini, tapi saya puas hati kerana berjaya mengerahkan otak saya
berfikir. Hari esok saya perlu bangun awal dan meletakkan sasaran untuk
menghabiskan satu artikel yang saya tertangguh kelmarin.
Dr Vijay ada berkongsi banyak
lagi idea, jadi saya akan simpan untuk penulisan esok.
NOTA:
24 November 2015 (dikemaskini di blog pada 25 November 2015)
1224 patah perkataan
Satu jam lebih masa digunakan untuk menulis artikel ini.